Memupuk nilai kasih sayang, mengukuhkan silaturahim



Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





KIARONG, Jumaat, 10 April. - Meskipun bulan Syawal kini memasuki minggu ketiga, kemeriahannya masih terus dirasai apabila Kumpulan Belia Masjid Senegara mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diselajurkan dengan Majlis Penyerahan Surat Lantikan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) Kumpulan Belia dan Beliawanis Masjid Senegara bagi Sesi 2026 hingga 2028 serta penyampaian Sijil Penghargaan kepada AJKT bagi Sesi 2024 hingga 2026 yang diadakan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian surat lantikan kepada AJKT Kumpulan Belia dan Beliawanis Masjid Senegara bagi Sesi 2026 hingga 2028 berkenaan, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri.


Majlis antara lain bertujuan untuk mengukuhkan silaturahim sesama insan, di samping memupuk nilai kasih sayang dan budaya saling bermaaf-maafan.


Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengekalkan istiqamah dalam melaksanakan amal ibadah selepas bulan Ramadan, sekali gus meningkatkan ketakwaan dan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala.


Melalui penganjuran majlis seumpama berkenaan, Kumpulan Belia Masjid Senegara berharap agar Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dapat memberikan kesan yang positif serta manfaat kepada semua jemputan yang hadir.


Semoga segala usaha yang dilaksanakan mendapat keberkahan dan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan akhirat.

Close